Tanggungjawab Majikan di Bawah Seksyen 15 & 17 AKKP 1994
1.0 Kewajipan majikan di bawah Seksyen 15
Seksyen 15 adalah seksyen yang penting di dalam AKKP di mana ia memperuntukkan kewajipan am majikan dan orang yang bekerja sendiri terhadap pekerja-pekerjanya. Seksyen 15 memperuntukkan :
(1) Adalah menjadi kewajipan tiap-tiap majikan dan tiap-tiap orang yang bekerja sendiri untuk memastikan, setakat yang praktik, keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja semua pekerjanya.
Subsekyen ini memperuntukkan setiap majikan untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semua pekerja semasa bekerja di tempat kerja yang disediakan olehnya. Bagaimanapun, terdapat katakunci 'setakat yang praktik' digunakan di sini. Dalam erti kata yang lain, majikan tidak dikehendaki atau diminta untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semua pekerja semasa bekerja sekiranya ianya tidak praktik atau di luar konsep 'setakat yang praktik'.
Penerangan mengenai apakah yang dimaksudkan dengan'setakat yang praktik' ini telah banyak dibincangkan. Ini kerana AKKP tidak menyatakan secara khusus apakah definisi bagi 'setakat yang praktik', sebaliknya terdapat beberapa faktor yang perlu diambil kira dalam menentukan maksudnya, iaitu:
a. Teruknya bahaya risiko yang terlibat di dalam kerja yang dilakukan
b. Pengetahuan tentang risiko tersebut dan cara-cara untuk menghapuskan atau mengurangkannya
c. Penyediaan dan kesesuaian cara untuk menghapuskan atau mengurangkan risiko tersebut
d. Kos yang terlibat di dalam tindakan untuk menghapuskan atau mengurangkan risiko yang terb*bit.
Di dalam perbicaraan sesuatu kes di mahkamah, keempat-empat faktor di atas mesti diambil kira sebelum sebarang keputusan dibuat. Beberapa kes mahkamah berkenaan dengan isu ini akan dibincangkan kemudian.
Sebagai perbandingan kepada undang-undang di UK, terdapat rangkai kata yang hampir sama telah digunakan di dalam Health and Safety at Work etc 1974, iaitu 'setakat yang boleh dipraktikkan secara munasabah'. Sebaliknya AKKP tidak menyentuh mengenai 'secara munasabah' dalam isu kewajipan am majikan ini. Oleh itu, terdapat perbincangan seterusnya sama ada kedua-dua rangkai kata ini membawakan maksud yang sama ataupun tidak.
Beberapa kes yang popular dibincangkan berkenaan dengan penggunaan rangkai kata 'setakat yang boleh dipraktikkan secara munasabah' ini adalah:
(i) Kes Marshall lwn Gotham Co. Ltd
- Plaintif adalah seorang balu kepada seorang lelaki yang terbunuh semasa bekerja di lombong batu kapur yang dimiliki oleh defendan. Beliau terbunuh kerana ditimpa bahagian bumbung yang runtuh akibat daripada pergerakan tanah. Kejadian pergerakan tanah ini adalah luarbiasa dan tidak pernah terjadi kepada lombong tersebut selama sekurang-kurangnya 25 tahun. Oleh itu ia adalah suatu kejadian yg tidak dapat dijangkakan akan kewujudannya dan kebarangkalian ia akan berlaku. Bagaimanapun, pemeriksaan terhadap bumbung tersebut dijalankan setiap hari.
Dalam kes ini, Lord Reid telah menyatakan:
"Satu-satunya cara untuk menjamin bumbung supaya tidak runtuh adalah dengan menambaknya, dan oleh kerana retakan tidak dapat dikesan daripada awal, maka perlindungan sepenuhnya terhadap bahaya tersebut akan memerlukan setiap bumbung yang dilalui oleh orang yang lalu atau bekerja di bawahnya perlu ditambak dengan kayu. Telah ada bukti yang tindakan seperti itu tidak dilakukan dalam lombong batu kapur dan dalam lombong ini kos untuk melakukan tindakan seperti itu adalah terlalu tinggi dan mustahil boleh dilakukan"
Menurut penerangan Lord Reid ini, ternyata faktor risiko kerja, pengetahuan, keupayaan penyediaan cara menghapuskan risiko dan kos telah diambil kira. Didapati pihak defendan telah melaksanakan langkah-langkah 'setakat yang boleh dipraktikkan secara munasabah'.
ii) Kes Associated Diaries Ltd lwn Hartley
- Kes ini adalah berkaitan dengan penggunaan trak 'hydraulic trolley jack' yang digunakan di dalam kawasan gudang ASDA untuk mengangkut dan memindahkan barang. Trak tersebut didapati boleh mengakibatkan kecederaan jika terlanggar kaki pekerja. Pihak majikan telah menyediakan kasut keselamatan pada harga 8 – 15 pound sterling. Tetapi Inspektor yang telah mengemukakan Notis Pembaikan tidak berpuas hati dengan tindakan majikan ini sebaliknya telah mengarahkan semua pekerja yang mengendalikan trak tersebut diberikan kasut secara percuma.
Untuk memenuhi permintaan ini, kos sebanyak 20K pound sterling pada tahun pertama dan 10K pound sterling pada setiap tahun berikutnya perlu dikeluarkan oleh pihak ASDA kerana mereka mempunyai jumlah sebanyak 66 stor di seluruh negara. Sedangkan menurut statistik, hanya terdapat 10 kemalangan yang melibatkan trak di kesemua 66 stor tersebut. Tribunal Industri telah tidak bersetuju dengan Inspektor di mana perbelanjaan ini adalah keterlaluan dan tidak memadai dengan risiko yang wujud.
Kes yang kedua ini juga telah membincangkan isu 'setakat yang boleh dipraktikkan secara munasabah'di mana faktor risiko kerja, pengetahuan, keupayaan penyediaan cara menghapuskan risiko dan kos telah diambil kira oleh pihak majikan bagi memastikan keselamatan pekerja-pekerjanya.
tujuan saya membincangkan contoh2 kes ini adalah sebagai panduan kepada para OSH Professional sekalian mengenai kemungkinan kes-kes yang boleh dibawa ke Mahkamah. Seandainya satu hari nanti anda berhadapan dgn situasi seperti yang dibincangkan dalam kes-kes di atas, anda telah ada gambaran bagaimana hendak menghujahkan "Majikan saya telah melaksanakan / tidak melaksanakan tugas beliau seperti yang dikehendaki oleh Sek 15 AKKP 94".
OSH Professional bertugas sebagai penasihat kepada Majikan dalam undang-undang berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Selain berfungsi untuk menjaga majikan, kita turut berperanan menjaga para pekerja daripada sikap tidak ambil peduli majikan. Ini kerana tanpa individu berkecuali yang berada di dalam sesuatu industry, keharmonian pekerjaan tidak akan tercapai.
Sumber rujukan:
1.Garispanduan bagi Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (DOSH)
2.Kamal Halili Hassan, Undang-undang Keselamatan Industri di Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2001
3.Niosh forum
No comments:
Post a Comment