Tuesday, September 21, 2010

Dua maut hidu gas pendingin hawa bocor

Dipetik dari 2010/09/21 BERITA HARIAN
KOTA KINABALU: Dua lelaki ditemui mati dipercayai terhidu gas karbon monoksida akibat sistem pendingin hawa bocor dalam kabin bot pukat tunda di jeti Sabah Fish Marketing Sdn Bhd (SAFMA) di sini, awal pagi semalam.

Juragan bot, Malkon Jusing, 31, dan Mohd Mustakim Merika, 20, dipercayai terhidu gas itu ketika tidur akibat mabuk selepas minum minuman keras bersama awak-awak yang juga sepupunya, Mohd Mustakim terselamat kerana tidur di luar kabin. Mangsa hanya disedari sudah meninggal dunia apabila awak-awak terbabit cuba mengejutkan mereka kira-kira jam 6 pagi. Sebelum kejadian, bot dikendalikan Malkon bersama 20 awak-awak berlabuh di jeti itu jam 5 petang, Ahad lalu sebelum memunggah hasil laut ke jeti pada malam kelmarin.

Mohd Mustakim dari Kawang, dekat Papar yang menganggur dikatakan datang ke bot itu untuk bertemu sepupunya sebelum minum arak dalam kabin.

Bagaimanapun, sepupu Mohd Mustakim tersedar daripada tidur dan keluar dari kabin pada jam 1 pagi serta tertidur di luar kabin.

Apabila menyedari kedua-dua meninggal dunia, awak-awak itu segera menghubungi pemilik bot yang kemudiannya datang untuk membuat pemeriksaan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria, berkata sepasukan polis yang bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan daripada pemilik bot mendapati kedua-dua mangsa mati dipercayai akibat terhidu gas karbon monoksida.

Kes itu diklasifikasikan mati mengejut tetapi siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian atau ada unsur jenayah, katanya di sini semalam.

Kanak-kanak 2 tahun koma terjatuh

Dipetik dari Berita Harian 2010/09/19 (BERITA HARIAN)

KUALA TERENGGANU: Seorang kanak-kanak lelaki yang bakal menyambut ulang tahun kedua kelahirannya, Jumaat ini, koma selepas terjatuh di tangga bergerak sebuah pasar raya besar di bandar ini, petang kelmarin.

Muhammad Irsyad Syahmie Mohd Suhaimi dari Wakaf Dua, Bukit Payong, Marang mengalami retak di kepala dan otaknya membengkak akibat kejadian kira-kira pada jam 6.30 petang itu dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). Ibu mangsa, Nurul Izatee Nawi, 25, berkata dia dan suami, Mohd Suhaimi Majid, 29, membawa anak tunggal mereka itu membeli barangan keperluan dapur dan kelengkapan anaknya di pasar raya besar berkenaan sebelum Muhammad Irsyad Syahmie yang diletakkan dalam troli meronta-ronta mahu keluar dari troli. "Selepas diturunkan, kami menaiki tangga bergerak itu untuk ke bahagian bawah pasar raya. Ketika itu, Muhammad Irsyad Syahmie cuba memaut pemegang tangga bergerak yang naik ke tingkat atas menyebabkan dia turut ditarik dan terjatuh ke tangga bergerak bersebelahan.

"Tangga itu bergerak laju menyebabkan suami saya tidak sempat menggapai anak kami lalu. Kejadian itu menyebabkan anak saya menggelupur kesakitan dan mukanya pucat. Dalam keadaan panik, kami tak ingat untuk guna kenderaan sendiri ke hospital, sebaliknya meminta bantuan orang ramai menghantar Muhammad Irsyad Syahmie ke hospital," katanya.

Nurul Izatee yang bekerja sebagai jurujual kereta di Perodua Gong Kapas, di sini, berkata doktor memaklumkan anaknya dalam keadaan stabil walaupun tidak sedarkan diri dan diberi ubat untuk merehatkan otak serta menghilangkan bengkak pada bahagian otak selain diberi minum susu melalui tiub.

Dia mengakui anaknya itu memang lasak, namun menegaskan pasar raya berkenaan perlu menitikberatkan ciri keselamatan terutama di bahagian tangga bergerak bagi mengelak kejadian sama berulang pada masa depan.
"Sepatutnya sediakan besi penghadang supaya kejadian seperti ini tidak berlaku. Saya juga kecewa kerana ketika kejadian, pengurusan pasar raya berjanji menghulur bantuan, namun selepas lebih lima kali saya menghubungi mereka, panggilan tidak berjawab dan SMS tidak dibalas," katanya.

Tersepit tangan di pasar raya

Dipetik daripada Berita Harian

2010/09/21 Berita HARIAN
KUALA TERENGGANU: Dua hari selepas seorang kanak-kanak berusia dua tahun koma akibat terjatuh di tangga bergerak, kelmarin seorang budak berusia sembilan tahun pula cedera tangan kanan selepas tersepit di tangga bergerak pasar raya sama, di sini.

Bagaimanapun, tindakan pantas kakitangan pasar raya itu menyelamatkan Raja Nur Natasha Ayuni Raja Mohd Samin yang mengalami luka di tangan kanan. Dalam kejadian jam 8 malam itu, pelajar Tahun Tiga di Kampung Teluk Ketapang itu ke pasar raya berkenaan bersama ibu bapa dan kakak untuk membeli alat tulis dan barangan keperluan harian. Mangsa sampai lebih awal di tingkat satu dan bermain berhampiran tangga bergerak itu sementara menanti kakaknya, Raja Nur Khairunnisya, 16, untuk menemui ibunya.

Bagaimanapun, sedang asyik bermain tangannya tersepit antara getah alas dan rangka tangga bergerak itu dan jeritan kuatnya menarik perhatian kakitangan pasar raya yang bertindak pantas mematikan suis tangga berkenaan.

Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Sutanah Nur Zahirah (HSNZ) dan pemeriksaan doktor mendapati dia hanya luka ringan.

Ibu mangsa, Engku Maznah Engku Ahmad, 39, berkata sebaik tiba di pasar raya besar itu mangsa dan kakaknya ke tandas dan beliau bersama suami terus ke tingkat satu membeli barangan keperluan.
Sementara itu, Muhammad Irsyad Syahmie Mohd Suhaimi, 2, dari Wakaf Dua, Bukit Payong, Marang, yang koma selepas terjatuh di tangga bergerak pasar raya itu Jumaat lalu, sudah sedar kira-kira jam 1 tengah hari semalam.

Tuesday, September 7, 2010

Salam Eid-ul Fitri

Kepada semua pengunjung blog ini,saya mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri, Kullu ‘Aam wa Antum bi Alf al-Khair, Semoga Allah Subhanahu wa Ta’aala menerima baik segala amal ibadah dan kebajikan yang dilakukan di sepanjang bulan Ramadhan kali ini dengan sebaik-baik penerimaan serta ganjaran. Mudah-mudahan kita semua dipertemukan lagi dengan Ramadhan berikutnya, ameen. Saya menyusun sepuluh jari, memohon maaf atas segala ketidak sempurnaan pada tutur kata yang tidak enak didengar telinga, laku perbuatan yang tidak manis di penglihatan, serta segala cacat cela diri yang nyata mahu pun tersembunyi… agar benar-benarlah Aidilfitri ini disambut sebagai orang yang pulang kepada asalnya yang fitrah (al-’aaideen) dan berjaya (al-faaizeen).