Tuesday, September 21, 2010

Dua maut hidu gas pendingin hawa bocor

Dipetik dari 2010/09/21 BERITA HARIAN
KOTA KINABALU: Dua lelaki ditemui mati dipercayai terhidu gas karbon monoksida akibat sistem pendingin hawa bocor dalam kabin bot pukat tunda di jeti Sabah Fish Marketing Sdn Bhd (SAFMA) di sini, awal pagi semalam.

Juragan bot, Malkon Jusing, 31, dan Mohd Mustakim Merika, 20, dipercayai terhidu gas itu ketika tidur akibat mabuk selepas minum minuman keras bersama awak-awak yang juga sepupunya, Mohd Mustakim terselamat kerana tidur di luar kabin. Mangsa hanya disedari sudah meninggal dunia apabila awak-awak terbabit cuba mengejutkan mereka kira-kira jam 6 pagi. Sebelum kejadian, bot dikendalikan Malkon bersama 20 awak-awak berlabuh di jeti itu jam 5 petang, Ahad lalu sebelum memunggah hasil laut ke jeti pada malam kelmarin.

Mohd Mustakim dari Kawang, dekat Papar yang menganggur dikatakan datang ke bot itu untuk bertemu sepupunya sebelum minum arak dalam kabin.

Bagaimanapun, sepupu Mohd Mustakim tersedar daripada tidur dan keluar dari kabin pada jam 1 pagi serta tertidur di luar kabin.

Apabila menyedari kedua-dua meninggal dunia, awak-awak itu segera menghubungi pemilik bot yang kemudiannya datang untuk membuat pemeriksaan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria, berkata sepasukan polis yang bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan daripada pemilik bot mendapati kedua-dua mangsa mati dipercayai akibat terhidu gas karbon monoksida.

Kes itu diklasifikasikan mati mengejut tetapi siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian atau ada unsur jenayah, katanya di sini semalam.

No comments: