Dipetik daripada Berita Harian
2010/09/21 Berita HARIAN
KUALA TERENGGANU: Dua hari selepas seorang kanak-kanak berusia dua tahun koma akibat terjatuh di tangga bergerak, kelmarin seorang budak berusia sembilan tahun pula cedera tangan kanan selepas tersepit di tangga bergerak pasar raya sama, di sini.
Bagaimanapun, tindakan pantas kakitangan pasar raya itu menyelamatkan Raja Nur Natasha Ayuni Raja Mohd Samin yang mengalami luka di tangan kanan. Dalam kejadian jam 8 malam itu, pelajar Tahun Tiga di Kampung Teluk Ketapang itu ke pasar raya berkenaan bersama ibu bapa dan kakak untuk membeli alat tulis dan barangan keperluan harian. Mangsa sampai lebih awal di tingkat satu dan bermain berhampiran tangga bergerak itu sementara menanti kakaknya, Raja Nur Khairunnisya, 16, untuk menemui ibunya.
Bagaimanapun, sedang asyik bermain tangannya tersepit antara getah alas dan rangka tangga bergerak itu dan jeritan kuatnya menarik perhatian kakitangan pasar raya yang bertindak pantas mematikan suis tangga berkenaan.
Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Sutanah Nur Zahirah (HSNZ) dan pemeriksaan doktor mendapati dia hanya luka ringan.
Ibu mangsa, Engku Maznah Engku Ahmad, 39, berkata sebaik tiba di pasar raya besar itu mangsa dan kakaknya ke tandas dan beliau bersama suami terus ke tingkat satu membeli barangan keperluan.
Sementara itu, Muhammad Irsyad Syahmie Mohd Suhaimi, 2, dari Wakaf Dua, Bukit Payong, Marang, yang koma selepas terjatuh di tangga bergerak pasar raya itu Jumaat lalu, sudah sedar kira-kira jam 1 tengah hari semalam.
No comments:
Post a Comment