Monday, April 7, 2008

Kanak-kanak 2 tahun lemas jatuh motor




Termangu saya sejenak apabila membaca berita yang dipaparkan oleh Harian Metro. Memandangkan saya pernah melalui jalan tersebut semasa masih remaja bersama rakan-rakan mencari lokasi terbaik untuk melabuhkan mata kail. Saya merasa terpanggil untuk mengulas kejadian ini.


Pemandangan kanak-kanak dan remaja menunggang motosikal tanpa mengenakan topi keledar adalah perkara biasa diperkampungan nelayan. Ibu bapa seolah-olah merestui anak-anak mereka ini menunggang motosikal tanpa kawalan. Seolah-olah tiada undang-undang yang dikuatkuasakan di perkampungan nelayan tersebut. Kanak-kanak yang masih kecil (kaki pun tak sampai menongkat motor; kata isteri) turut menunggang secara bebas. Apakah agaknya yang akan terjadi sekiranya motor tersebut terpaksa diberhentikan dalam keadaan mengejut….


Saya bukan menyalahkan penduduk di kampong nelayan, jauh sekali untuk menghina. Malahan isteri saya turut berasal daripada sebuah perkampungan nelayan. Namun tahap kesedaran yang rendah dikalangan para penduduk mengenai aspek keselamatan sewaktu menunggang motosikal perlu diberi perhatian.


Persepsi "taka pa" harus dilemparkan jauh-jauh. Adakah kita sebagai ibu bapa merelakan anak kita yang belum mempunyai lessen memandu yang sah dan telah mempelajari teknik kawalan motosikal memboncengkan adik-adiknya semasa kesibukan kita.


Dimana tanggungjawab kita sebagai ibu-bapa. Jangan jadikan motosikal sebagai alat mainan kepada anak-anak kita. Kitalah yang seharusnya mengajar mereka. Kepada pihak berkuasa, luangkanlah sedikit masa menjenguk mereka yang berada dikawasan tersebut. Sekiranya mereka tidak tahu, ajarlah mereka. Promosikanlah aspek tunggangan selamat. Semoga kejadian seperti ini tidak akan berulang lagi.






Harian Metro


7 April 2008




KANGAR: "Saya hanya dimaklumkan jiran, motosikal yang dinaiki mereka berdua terbabas dan terjunam ke tali air. Saya tidak pasti sama ada motosikal terbabit dipandu laju atau tidak.

"Penduduk kampung yang berada di warung berhampiran melihat kejadian itu dan membantu menarik Aishah ke tebing manakala Mohd Arif Hakimi dibawa arus deras berikutan hujan sejak beberapa hari lalu," kata Rokiyoh Techi, 30, ibu kepada Mohd Arif Hakimi Halin, 2, yang meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam tali air.

Kejadian berlaku di jalan pantai di Kampung Baru Tepi Laut, Kuala Sanglang, Jitra, jam 5.30 petang kelmarin.

Sebelum kejadian, mangsa menaiki motosikal ditunggang kakaknya yang berusia 11 tahun untuk bersiar-siar di laluan pantai berhampiran tali air berkenaan.


Mohd Arif ditemui tenggelam timbul di tali air ketika diselamatkan penduduk kampung dan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan di Simpang Empat di sini, kira-kira jam 6.15 petang.


Mayat mangsa dibawa ke bilik mayat Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar, untuk bedah siasat.

Kakaknya, Aishah Mat Salleh, yang berlainan bapa dan murid tahun lima Sekolah Rendah Kebangsaan Kuala Sanglang, Kedah, ditarik ke tebing oleh penduduk kampung.

Keadaan kanak-kanak perempuan itu dilaporkan stabil dan kini menerima rawatan di wad kanak-kanak HTF.

Rokiyoh yang ditemui di HTF malam kelmarin berkata, Aishah mahir menunggang motosikal walaupun baru berusia 11 tahun dan kerap membawa adiknya bersiar-siar pada sebelah petang.

Menteri Besar, Datuk Dr Md Isa Sabu hadir menziarahi jenazah kanak-kanak terbabit.

Beliau difahamkan seorang penduduk berbangsa Cina hampir lemas ketika cuba menyelamat Mohd Arif Hakimi berikutan paras air di tali air terbabit meningkat dengan mendadak berikutan hujan.

Rokiyoh berkata, anak bongsunya itu sudah dibawa arus dan ditemui dalam keadaan terapung kira-kira 10 meter dari tempat kejadian.

Dia masih bernyawa ketika dibawa ke tebing tali air.

Ketika ditemui di bilik mayat HTF, beliau yang berasal dari Thailand, masih dalam keadaan tergamam dan sedih serta tidak berhenti-henti mengusap kepala jenazah anak bongsunya itu.

Menurut Rokiyoh, motosikal ditunggangi Aishah itu adalah peninggalan arwah suaminya, Allahyarham Halin Osman, iaitu bapa Mohd Arif Hakimi, yang meninggal dunia Ogos tahun lalu kerana menghidap kanser.

"Mangsa kerap kali diletakkan di bahagian depan motosikal ketika mereka berdua keluar bersiar di jalan pantai yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah," katanya.

Menurutnya, bapa Aishah pula berasal dari Pattani, Selatan Thailand dan belum dimaklumkan mengenai kejadian yang menimpa anaknya itu.

Jenazah Mohd Arif Hakimi dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kuala Sanglang, kira-kira jam 12 tengah malam semalam.

No comments: