Thursday, April 24, 2008

Azraai senyum lebar



Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED
sukan@kosmo.com.my




JURULATIH Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah sudah boleh tidur lena.


Selepas membelasah Melaka 6-2 pada perlawanan suku akhir kedua Piala FA di Stadium Darulaman, Alor Star kelmarin, dia telah memiliki keyakinan bahawa Kedah akan terus mengganas dalam saingan bola sepak Piala FA.


Kejayaan skuad Kenari itu juga seakan memberi amaran kepada pesaingnya yang lain bahawa mereka memang sebuah pasukan yang sukar digugat, lebih-lebih lagi selepas muncul juara Liga Super.


Menurut Azraai, dia berpuas hati melihat prestasi cemerlang yang dipamerkan oleh kesebelasan utamanya walaupun mereka terpaksa bermain dalam keadaan padang yang becak.


"Semua pemain telah menjalankan tanggungjawab mereka dengan sempurna untuk memastikan sasaran pasukan dicapai.


"Dengan jumlah jaringan besar itu, saya yakin Kedah kini berada pada landasan terbaik dan sudah pasti tidak menghadapi sebarang tekanan untuk menghadapi siapa juga lawan selepas ini," kata Azraai. Skuad bimbingannya mara ke separuh akhir dengan agregat 10-3.


Pada perlawanan itu, Marlon Alex James menyumbangkan empat gol buat Kedah sementara Mohd. Khyril Muhymeen Zambri dan Hasmawi Hassan masing-masing menjaringkan satu gol.


Dalam perkembangan lain, Azraai mengakui langkahnya untuk memberi pendedahan kepada pemain muda kini semakin membuahkan hasil.


Mohd. Fadly Baharom adalah antara yang dilihat paling menyerlah sehingga diberi kepercayaan beraksi dengan skuad Bawah 23 negara pada kejohanan Piala Antara Benua minggu depan.

No comments: