Thursday, April 3, 2008

Keselamatan Kawasan Pembinaan Perlu Dipertingkatkan

Berita Harian, 1-April-2008
Keselamatan di kawasan pembinaan perlu dipertingkat

TAPAK pembinaan boleh dikategorikan sebagai zon berbahaya bukan saja kepada pekerja, malah juga orang awam di sekitar atau berhampiran kawasan terbabit.

Rata-rata pekerja di tapak pembinaan terdedah kepada bahaya atau risiko antaranya disebabkan ketinggian tempat kerja, barang yang dikendalikan, elektrik, motor, objek tajam yang bergerak, lif, bahan kimia, habuk, bunyi bising dan ruang yang terbatas. Kebanyakan tapak pembinaan tidak dapat memisahkan sepenuhnya bukan pekerja atau orang awam. Tapak pembinaan jalan umpamanya pada kebanyakan masa perlu membenarkan trafik menggunakan laluan berkenaan.

Kompleks beli-belah atau bangunan awam yang lain pula tidak boleh ditutup apabila sebahagian daripada bangunan itu menjalani pengubahsuaian. Ini menyumbang sedikit-sebanyak risiko kepada orang awam dan bukan pekerja.

Menurut Presiden Persatuan Pengguna Standard Malaysia, Datuk N Marimuthu, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), pemaju, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan banyak pihak lain mempunyai peranan penting dalam mengurangkan kemalangan.

“Sasarannya harus kematian sifar di tapak pembinaan dan juga mana-mana tempat kerja,” katanya kepada Bernama sebagai mengulas laporan akhbar mengenai kematian seorang pemuda seselepas terjatuh ke dalam lubang ketika memasuki kawasan yang sedang diubahsuai di sebuah kompleks beli-belah terkemuka di Kuala Lumpur baru-baru ini.Kemungkinan berlakunya kecederaan membabitkan orang awam bergantung kepada pelbagai faktor termasuk kedudukan tapak kerja pembinaan dengan kanak-kanak atau pihak lain yang kurang kesedaran mengenai bahaya, contohnya sekolah atau taman permainan.

Jumlah serta bentuk bahaya di tapak pembinaan termasuk tempoh kerja pembinaan dijalankan perlu diambil kira di samping pembinaan pagar keselamatan atau ciri lain yang boleh mengelakkan kemalangan.

“Apa yang kita inginkan ialah tapak pembinaan dipastikan berada dalam keadaan selamat sekiranya dicerobohi orang awam,” kata Marimuthu.
Beliau menyatakan beberapa contoh pencegahan termasuk memagar lubang yang dikorek, menutup lubang, mengadakan tanda amaran, mengunci pintu masuk tapak yang dipagar dan menugaskan pengawal keselamatan sekiranya perlu.“Pendekatan kejuruteraan atau prosedur lain yang benar-benar berkesan bagi mengelakkan orang awam daripada menceroboh tapak pembinaan boleh juga dipertimbangkan,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai standard keselamatan untuk orang awam sewaktu operasi pembinaan, Marimuthu berkata ia perlu juga mengambil kira objek yang jatuh daripada membahayakan keselamatan orang awam.

“Gunakan penghadang atau jaring, ambil langkah berwaspada untuk melindungi orang awam daripada kren, kenderaan bermotor atau sebarang jentera dan peralatan. Beri ingatan kepada orang awam mengenai kesan bunyi bising, peralatan pembinaan dan pastikan laluan berhampiran tapak pembinaan boleh dilalui dan selamat. “Simpan bahan yang berbahaya, kaji kawasan yang hendak digerudi atau digali lubang serta adakan pelan bertindak kecemasan di tapak pembinaan,” katanya.

Menurut Marimuthu, apa yang diharapkan oleh Standard Users ialah supaya industri pembinaan atau pengilangan dapat mengawal perjalanan industri masing-masing.
Setakat ini, katanya, perkara yang menjadi kebimbangan besar ialah hakikat ramainya bilangan pekerja asing yang diambil bekerja oleh industri pembinaan di mana kecederaan yang dialami mereka tidak dimasukkan ke dalam statistik yang disediakan oleh DOSH.

Keadaan itu, katanya tidak memberikan gambaran tepat mengenai tahap keselamatan dalam industri pembinaan di negara ini.
“Negara kita semakin bergantung kepada pekerja asing dan pengecualian data itu mungkin memberikan kita gambaran palsu bahawa semuanya selamat dan tidak perlu mengambil sebarang tindakan segera,” hujah Marimuthu.

Beliau berharap DOSH, CIDB dan dua kementerian (Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Kerjaraya) yang boleh memastikan agensi penguatkuasaan masing-masing, menggunakan sepenuhnya kuasa berhubung dengan tapak pembinaan dan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Beliau juga meminta pihak berkuasa berkenaan untuk memaju dan melaksanakan standard mandatori untuk mengaudit serta menilai pencapaian keselamatan tapak pembinaan serta membawa pemaju dan pemilik bangunan ke muka pengadilan apabila tapak yang tidak selamat menyebabkan kecederaan dan kematian di kalangan orang awam.
“Hentikan sikap melindungi pemaju dan pemilik tapak yang sedang dibangunkan. Undang-undang sepatutnya menghukum pemilik dan pemaju dan bukannya mencari kambing hitam,” tegas Marimuthu.

”Meletakkan tanggungjawab ke atas pemaju dan pemilik tapak yang sedang dalam pembinaan akan memastikan insiden lampau seperti insiden yang menyebabkan kematian Dr Liew Boon Horng pada awal 2006 di Plaza Damas dan dua pekerja di Pavilion Kuala Lumpur pada 2007, tidak berulang,” tegas Marimuthu. Marimuthu juga berpendapat bahawa CIDB yang banyak melaksanakan program membangun keupayaan untuk pemaju dan pekerja perlu memasukkan sama isu kesedaran dan penghargaan keselamatan awam ke dalam program berkenaan. Beliau menjelaskan orang awam mempunyai hak untuk mengharapkan keselamatan di tapak pembinaan terutama jika mereka berada di kawasan berkenaan ketika operasi kerja pembinaan sedang berjalan umpamanya di kompleks beli-belah dan di sekitar rumah kedai.

CIDB dan DOSH, katanya perlu bekerjasama dengan pertubuhan, lazimnya bukan kerajaan yang mempunyai rangkaian jaringan yang baik dengan orang awam.“Kedua-dua pihak ini boleh menekankan betapa pentingnya untuk mengenal pasti isu keselamatan serta menepati standard keselamatan bukan saja untuk tapak pembinaan malah juga tempat kerja lain seperti hospital dan stesen minyak,” katanya. - Bernama