Friday, April 25, 2008

Risiko bekerja dalam pejabat kerajaan

Kosmo 25 April 2008

SHAH ALAM - Ramai daripada 1.2 juta kakitangan awam berdepan dengan masalah keselamatan dan kesihatan apabila 70 peratus jabatan kerajaan gagal mematuhi standard peralatan dan kemudahan yang ditetapkan.
Timbalan Ketua Pengarah Operasi, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia, Ir. Rosli Hussin berkata, ia hasil siasatan mereka terhadap 137 jabatan kerajaan.
Menurutnya, pemilihan peralatan pejabat dan teknologi canggih yang tidak sesuai dengan psikologi dan fisiologi pekerja menyebabkan masalah keletihan mata, lenguh sendi dan sakit belakang.
"Kualiti udara yang tidak sempurna di dalam pejabat juga antara simptom tempat kerja tidak selamat kerana hasil pemeriksaan kami ia boleh mempengaruhi kecekapan kerja.
"Sebenarnya hanya 30 peratus mematuhi standard keselamatan dan kesihatan pekerjaan daripada 137 jabatan kerajaan yang diperiksa dan diaudit, manakala selebihnya tidak patuh kepada akta ditetapkan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis perasmian Seminar Pematuhan Kepada Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 Dalam Sektor Awam di sini semalam.
Pada Ogos 2004, semua jabatan kerajaan diarah supaya mematuhi AKKP 1994 dengan melaksanakan setiap arahan, prosedur dan peruntukan undang-undang atau didenda sehingga RM50,000 atau penjara dua tahun jika gagal.

No comments: