Thursday, September 4, 2008

JKKP / DOSH KEDAH DARUL AMAN - 88 Nahas Industri Dalam 8 Bulan

Berita Harian / 03.09.2008
ALOR STAR: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Kedah/Perlis mengesan 88 kes kemalangan di tempat kerja di dua negeri berkenaan dalam lapan bulan pertama tahun ini dengan tujuh kematian dicatatkan. Sepanjang tempoh itu, 17 kes kemalangan menyebabkan hilang upaya kekal kepada mangsa, manakala 64 kes lagi membabitkan kecederaan tanpa hilang upaya kekal.

Pengarahnya, Mohd Jais Suratman, berkata pihaknya memandang serius jumlah kes kemalangan yang tinggi direkodkan itu, terutama membabitkan kematian dan ia membuktikan masih ramai majikan mengabaikan aspek keselamatan di premis mereka.

Katanya, sepanjang tahun lalu sebanyak 107 kes kemalangan berlaku di tempat kerja membabitkan empat kematian, enam kes hilang upaya kekal dan 97 kes kecederaan tanpa hilang upaya kekal. "Kebanyakan kes kemalangan di tempat kerja berpunca daripada pihak yang mengabaikan soal keselamatan, sekali gus mengundang risiko kemalangan yang boleh meragut nyawa dan kecederaan parah. "JKKP sentiasa membuat pemantauan di tempat kerja, khususnya di tapak binaan bagi memastikan majikan mematuhi syarat keselamatan yang ditetapkan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, semua kes kemalangan di tempat kerja itu disiasat mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan 1994 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sebanyak RM50,000 atau penjara dua tahun atau keduanya sekali. Selain itu, tindakan boleh diambil mengikut Akta Kilang dan Jentera 1967 (Pindaan 2007) yang mana jika sabit kesalahan pihak terbabit boleh dikenakan denda sebanyak RM2,000.
Sementara itu, beliau berkata, JKKP sudah menghantar pegawainya menyiasat dua kes pekerja binaan warga Aceh maut apabila terjatuh dari bangunan yang sedang dalam pembinaan di bandar raya ini pada 23 dan 28 Ogos lalu. Dalam kejadian 28 Ogos lalu, buruh binaan warga Aceh maut selepas tergelincir dan terjatuh dari bumbung bangunan pejabat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang dalam pembinaan di Jalan Tanjung Bendahara, di sini.

Pada 23 Ogos lalu pula, seorang buruh binaan warga Aceh terbunuh selepas terjatuh dari tingkat empat bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Kuala di sini, yang juga sedang dalam pembinaan.

No comments: