Wednesday, September 3, 2008

Ajar kanak-kanak pentingnya mencuci tangan




Ajar kanak-kanak pentingnya mencuci tangan

Oleh Rosmawati Mion / Utusan Malaysia / 2-September-2008

Amalan mencuci tangan perlu diterapkan dalam diri kanak-kanak sejak awal lagi kerana ia merupakan langkah awal dalam menjaga kebersihan diri.

Kepentingan menjaga kebersihan akan membuatkan diri seseorang itu lebih sihat selain mengurangkan risiko terkena jangkitan penyakit khususnya kepada kanak-kanak.

Malah, amalan tersebut juga boleh dijadikan usaha permulaan terbaik dalam melahirkan generasi yang peka terhadap kebersihan diri dan persekitaran.

Menyedari hakikat itu, Reckitt Benckiser (pengeluar jenama Dettol) bersama Pusat Perubatan Pantai baru-baru ini tampil melancarkan Kempen Membasmi Kuman dengan menekankan kepada kebersihan diri melalui amalan mencuci tangan.

Kempen yang dimulakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Bandaraya, Bangsar itu akan diteruskan di 20 buah sekolah di sekitar Lembah Klang.

Menurut Pengarah Pemasaran Reckitt Benckiser (M) Sdn. Bhd., Catherine Tantoco, kempen tersebut dilancarkan bertujuan memberi didikan dan kesedaran kepada kanak-kanak tentang amalan kebersihan diri dan kepentingannya dalam mengurangkan risiko jangkitan ketika berada di rumah mahupun persekitaran.

‘‘Mencuci tangan adalah langkah yang paling mudah, ringkas tetapi berkesan untuk menghalang merebaknya jangkitan penyakit seperti demam selesema, penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), sindrom pernafasan akut teruk (SARS) dan influenza.

‘‘Apa yang mereka perlukan hanya air, sabun dan keinginan untuk menjadikan ia sebagai amalan dalam diri mereka,” katanya.

Bagaimanapun katanya, kanak-kanak selalunya belajar melalui pemerhatian. Justeru, ibu bapa, guru dan penjaga perlu memainkan peranan aktif sebagai role model kepada kanak-kanak tersebut.

Kajian yang dijalankan di Afrika Selatan juga menunjukkan wujud pengurangan dalam jangkitan penyakit kulit, sistem pernafasan dan gastousus di kalangan kanak-kanak di bawah usia lima tahun seandainya ahli keluarga mereka bersama-sama memainkan peranan aktif dalam memberi didikan berkaitan kebersihan diri.

Malah, soal selidik berkaitan kebersihan yang dilakukan Dettol ke atas 1,000 penduduk di negara ini turut mendapati kebanyakan mereka iaitu 47 peratus bersetuju bahawa mencuci tangan adalah langkah paling berkesan untuk mencegah jangkitan kuman.

Namun, biarpun rata-rata kanak-kanak sebenarnya mencuci tangan mereka terutama sebelum makan, apa yang perlu diteliti adalah tempoh pencucian yang dilakukan mereka.

Sebaiknya, tangan dicuci dalam tempoh 20 saat bagi memastikan ia benar-benar bersih.

Jadi tidak hairanlah, pada kempen di SK Bukit Bandaraya, Dettol mengajar pelajar sekolah tersebut cara yang betul mencuci tangan menerusi tujuh langkah mudah.

Bagi menggalakkan mereka melakukan apa yang dipelajari di kempen berkenaan khususnya mencuci tangan, Dettol turut memberikan gelaran Hero Kebersihan seandainya mereka dilihat sentiasa mementingkan kebersihan ketika disekolah, di samping mempunyai kedatangan penuh di sekolah selama tiga bulan berturut-turut dan menjadi contoh terbaik kepada rakan-rakan mereka.

No comments: