Mengenangkan anakku Aliff Imran yang hampir seusia dengan kanak-kanak tersebut, membuatkan aku beristigfar panjang apabila mendengarkan berita ini dipaparkan di kaca tv. Moga ia menjadi pengajaran kepada semua ibu-bapa yang mempunyai anak-anak seusia begini kerana tingkahlaku mereka masih belum kita dapat duga.......
Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMEDberita@kosmo.com.my
ALOR STAR - Gara-gara suka jalan berundur, seorang kanak-kanak cedera akibat terjatuh dalam periuk berisi gulai daging yang baru dimasak di gerai neneknya di Taman Wira Mergong di sini semalam.
Dalam kejadian pada 1.40 petang semalam, Mohd. Adib Alif Mohd. Asrie, 2, yang terendam selama kira-kira 10 saat melecur kira-kira 50 peratus badan dari lutut hingga dada.
Namun dia bernasib baik apabila sempat ditarik keluar oleh bapanya, Mohd. Asrie Azizan, 28, selepas terdengar tangisan anak tunggalnya itu.
Sebelum kejadian, Mohd. Adib asyik bermain di kawasan itu dengan ibunya, Ana Malekh, 20, pula sibuk memasak juadah untuk dijual di bazar Ramadan berhampiran.
Kata Mohd. Asrie, periuk dengan ukur lilit seluas 0.7 meter dan tinggi 0.5 meter itu diletak atas lantai selepas gulai siap dimasak.
Beliau menceritakan, anaknya memang suka jalan berundur ketika bermain dan tiba-tiba dia jatuh terlentang ke dalam periuk.
"Isteri saya menjerit dan bila saya sampai di situ, anak saya masih dalam periuk,'' katanya ketika ditemui Kosmo! di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) semalam.
Dalam keadaan kelam-kabut itu, Mohd. Asrie bergegas mengangkat anaknya keluar dari periuk dan kemudian cuba merawat lecur dengan melumurkan kicap pada badan Mohd. Adib.
Mangsa kemudian dibawa ke HSB dengan ambulans sebelum dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut.
"Saya bersyukur kerana sempat menolong sebab dia dilihat tidak boleh bangun sendiri keluar dari periuk itu,'' ujarnya.
No comments:
Post a Comment