Wednesday, May 28, 2008

Mengapa Perlu Ambil Risiko



YAN: Orang ramai di sekitar kawasan ini masih menggunakan air dari bukit di tepi jalan di Tanjung Jaga dekat sini, sebagai sumber minuman walaupun Jabatan Kesihatan sudah mengesahkan ia tercemar dengan kuman 'e-coli'.Tinjauan Berita Harian di kawasan itu, kelmarin, mendapati ramai pemandu memberhentikan kenderaan mereka di tepi jalan untuk menadah air bagi dibawa pulang ke rumah.

Seorang peniaga dari Pendang, Sharif Awang, 65, mendakwa keluarganya sudah menggunakan air itu untuk minuman sejak beberapa tahun lalu tanpa mengalami sebarang masalah kesihatan.Beliau yang membawa 20 tong plastik yang setiap satu boleh diisi empat liter air berkata ia adalah untuk bekalan selama sebulan."Setiap bulan saya datang ke sini untuk mengambil air yang keluar dari mata air ini kerana percaya ia mempunyai khasiat seperti air mineral."Kami sekeluarga sudah menggunakannya sejak beberapa tahun lalu dan setakat ini tiada masalah," katanya ketika ditemui di sini.

Sebelum ini, air berkenaan mengalir melalui rekahan tanah di lereng bukit di situ, tetapi kini penduduk lebih mudah menadahnya kerana ada pihak yang memasang paip.Sharif berkata, setiap hari ramai penduduk sekitar kawasan ini datang untuk menadah air itu menyebabkan ada kalanya mereka terpaksa berbaris panjang.

Sementara itu, seorang penduduk di situ, Shafie Sudin, 38, berkata, sejak kampung berkenaan menikmati bekalan air paip, bilangan mereka yang mengambil air di lereng bukit itu sudah berkurangan."Bagi penduduk kampung ini kita lebih selesa menggunakan air paip kerana kemudahan itu sudah ada."Sebelum ada air paip dulu, memang kita mengambil air dari lereng bukit berkenaan," katanya.

Sementara itu, Pegawai Kesihatan Daerah Yan, Dr Hanizah Mohd Sultan, ketika dihubungi berkata, sebelum ini pihaknya sudah meletakkan papan tanda yang memaklumkan supaya penduduk jangan mengambil air untuk minuman di situ kerana dikhuatiri akan menjejaskan kesihatan.Katanya, ini kerana ujian sebelum itu mendapati ia tercemar dengan kuman `e-coli' yang mungkin berpunca daripada najis.Namun beliau berkata, papan tanda itu dibuang pihak tertentu dan penduduk terus mengambil air berkenaan.Baru-baru ini kita mengambil sampel air di situ untuk menjalani ujian di Jabatan Kimia dan keputusannya masih belum diperoleh."Saya nasihatkan orang ramai supaya tidak meminum air itu kecuali selepas di masak kerana kebersihannya diragui," katanya.

No comments: