Monday, May 12, 2008

Kadar Kemalangan Tempat Kerja Turun

KEMALANGAN TEMPAT KERJA TURUN

UTUSAN MALAYSIA 29 April 2008
PUTRAJAYA 28 April - Kadar kemalangan di tempat kerja di negara ini pada 2007 menurun iaitu sebanyak 56,321 kes berbanding 58,321 kes pada 2006.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Datuk Dr. Ir Johari Basri berkata, daripada jumlah itu sebanyak 38,657 kes berlaku di tempat kerja manakala 17,683 kes lagi dalam perjalanan untuk bekerja.Kata beliau, kedua-dua bentuk kemalangan itu turut menunjukkan penurunan berbanding 2006 iaitu masing-masing men- catatkan 40,617 kes dan 17,704 kes.''Walaupun kes kemalangan di tempat kerja menurun namun majikan dinasihatkan supaya meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan dalam kalangan pekerja,'' katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2008 yang dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Thomas George di sini hari ini.Turut hadir Pengurus Besar Kanan Perkeso, Dr. Mohd. Azman Aziz Mohamed.

Sehubungan itu, Johari berkata, JKKP bersama Kementerian Sumber Manusia dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) telah mengarahkan para majikan untuk memberikan latihan keselamatan berterusan kepada pekerja bagi mengenal pasti risiko kemalangan.Kata beliau, pemantauan dan pemeriksaan akan dilakukan ke atas majikan bagi memastikan tidak ada majikan yang ingkar bagi arahan tersebut.''Jika didapati kemalangan berlaku disebabkan kekurangan latihan, majikan terbabit akan diambil tindakan di bawah Seksyen 15 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994."Jika disabitkan kesalahan, majikan boleh didenda sebanyak RM10,000 atau dua tahun penjara," katanya.

Menurut Johari, sebanyak 2,729 siasatan telah dijalankan sepanjang tahun lalu dengan 4,873 notis dikeluarkan kepada majikan, 215 (majikan) dikenakan kompaun serta 108 daripadanya telah didakwa di mahkamah.

Pada majlis itu, mereka yang terlibat dalam kemalangan ketika bekerja menerima sumbangan dan pampasan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).Perkeso memperuntukkan sebanyak RM1.1 bilion pada tahun lalu bagi tujuan itu berbanding RM959 juta pada 2006.Seramai 800 peserta terdiri daripada majikan dan pekerja menghadiri majlis itu bagi mendengar taklimat keselamatan, motivasi dan berkongsi pengalaman yang dianjurkan oleh Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Kementerian Sumber Manusia; JKKP; Perkeso dan NIOSH

56,339 KES NAHAS PEKERJA TAHUN LALU
BERITA HARIAN 29 April 2008
PUTRAJAYA: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) merekodkan 56,339 kes kemalangan pekerja sepanjang tahun lalu, menurun 3.4 peratus berbanding 58,321 kes pada 2006. Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Johari Basri, berkata daripada jumlah itu, 38,657 kes membabitkan kemalangan di tempat kerja, manakala 17,682 kes dalam perjalanan ke tempat kerja.

Beliau berkata, pihaknya masih belum berpuas hati dengan komitmen majikan berkaitan penyediaan latihan dan kod amalan keselamatan walaupun peratus kes kemalangan di tempat kerja menurun.“Kita akan meningkatkan pemantauan dan pemeriksaan di setiap sektor pekerjaan termasuk perindustrian dan perkilangan bagi memastikan tidak ada majikan bersikap sambil lewa terhadap penyediaan latihan dan kod amalan keselamatan pekerja. “Kita memerlukan kerjasama majikan bagi meminimumkan kemalangan di tempat kerja pada masa depan,” katanya pada sidang media selepas perasmian Sambutan Hari Sedunia Bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2008 peringkat Kebangsaan, di sini, semalam.

Sambutan tahun ini bertemakan ‘Kehidupan Saya, Pekerjaan Saya, Tempat Kerja Saya Selamat - Pengurusan Risiko di Tempat Kerja.Majlis dirasmikan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Thomas George mewakili Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam. Hadir sama, Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh), Tan Sri Lee Lam Thye.

Johari berkata, pihaknya tidak teragak-agak memberi notis amaran kepada majikan yang ingkar dan mengabaikan tanggungjawab keselamatan pekerja. Katanya, sepanjang tahun lalu, JKKP mengeluarkan 4,873 notis amaran, 215 kompaun terhadap 2,729 majikan gagal menyediakan latihan dan kod amalan keselamatan mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994 serta mendakwa 108 majikan.

1 comment:

Anonymous said...

Assalamualaikum,
Hai Anuar,
saya tertarik dgn artikel b'tajuk "kadar kemalangan Tempat kerje menurun"..
Persoalan yg sedang bermain dlm fikiran saya..
adakah kadar kemalangan tempat kerja tersebut termasuk kadar kemalangan di pejabat di Malaysia?
I hope you can give me more information about the issue because right now I'm doing some research about it.
Please inform me at my email address
nora_isma05@yahoo.com.
thank you.

From Nora
Dungun,Terengganu