Sesudah berlaku sesuatu peristiwa maka ramai pihak akan mula sedar apakah elemen kecuaian yang menyebabkan peristiwa tersebut berlaku. Adakah pihak kontraktor tidak melaksanakan tugasnya dengan betul ataupun agensi penyelaras hanya ambil sikap tunggu dan lihat. Akibatnya pengguna yang tidak bersalah akan menanggung akibatnya. Siratan kali ini akan memaparkan isu mengenai kemalangan yang berlaku di Tapak Pembinaan Jalan Gurun- Sik. Semoga ini menjadi pengajaran kepada kita semua.
CEO bina jalan disiasat
METRO / 19.01.08
PUTRAJAYA :Buat pertama kali, seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat pembinaan jalan raya akan disiasat berhubung kematian seorang pemandu dan seorang penumpang kereta di tapak pembinaan jalan di Gurun, Kedah, minggu lalu.Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Datuk Suret Singh, berkata CEO berkenaan akan dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kejadian Selasa lalu itu di hadapan sebuah badan siasatan yang terdiri daripada anggota pelbagai agensi.Katanya, siasatan awal menunjukkan kemungkinan ada unsur kecuaian dari segi keselamatan oleh syarikat itu ketika menjalankan kerja memperbaiki laluan Gurun ke Sik.Badan siasatan itu, yang diketuai Jabatan Kerja Raya (JKR), akan bersidang tidak lama lagi dan anggota panel termasuk wakil Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis.
“Saya tidak mahu membuat sebarang kesimpulan buat masa ini dan mungkin syarikat itu akan disenaraihitamkan jika inkuiri mendapati CEO itu bersalah dan ia adalah hukuman paling berat kerana ia akan menjejaskan urusan perniagaan syarikat itu,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Dalam kemalangan jam 3.45 petang itu, dua lelaki masing-masing berusia 50 dan 38 tahun terbunuh apabila kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda.Dua penumpang dan pemandu kenderaan pacuan empat roda itu cedera parah.“Siasatan awal mendapati pengurusan trafik di tapak kerja mungkin menimbulkan kekeliruan di kalangan pemandu kereta sehingga menyebabkan kemalangan berkenaan,” katanya.Suret berkata, penubuhan badan siasatan itu boleh memberikan isyarat jelas kepada semua CEO dari syarikat bas, lori dan syarikat pembinaan jalan raya bahawa mereka akan dipertanggungjawabkan jika kemalangan maut berlaku.“Kami tidak bertolak ansur dalam soal keselamatan jalan raya. Semua agensi kini bekerja sebagai sebuah pasukan,” katanya.Dalam pada itu, Ketua Pengarah Miros Prof Dr Radin Umar Radin Sohadi berkata, selama ini kemalangan seperti itu hanya menambahkan perangkaan kemalangan tetapi kini mereka melihat kepada soal kejuruteraan dalam aspek keselamatan jalan raya di samping faktor manusia.“Dua kematian itu tidak sepatutnya terjadi sama sekali jika semua langkah keselamatan di tapak kerja diberi perhatian seperti dinyatakan dalam audit keselamatan jalan raya bagi jalan yang masih dalam pembinaan dan diperbaiki,” katanya.Katanya, kemalangan itu juga menunjukkan betapa pentingnya pemakaian tali kelendar untuk penumpang tempat duduk belakang kerana ia boleh menyelamatkan nyawa dan mengelak kecederaan parah.- Bernama
Nahas laluan Gurun - Sik inkuiri pertama JKJR
BERITA HARIAN / 19.01.08
PUTRAJAYA: Buat kali pertama dalam sejarah siasatan kemalangan, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) akan mengadakan inkuiri menyiasat kemungkinan berlaku kecuaian dan pelanggaran prosedur keselamatan tempat kerja oleh kontraktor kerja menaik taraf laluan Gurun-Sik, Kedah sehingga menyebabkan kemalangan maut pada 8 Januari lalu. Ketua Pengarah JKJR, Datuk Suret Singh, berkata jawatankuasa inkuari yang diketuai Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah ditubuhkan dan akan memanggil ketua eksekutif serta pengurusan kanan syarikat terbabit dalam tempoh terdekat untuk memberi keterangan. Suret berkata, inkuiri akan menentukan sama ada berlaku perlanggaran Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, Akta Pengangkutan Jalan (JPJ) 1987 dan Garis Panduan Teknik dan Keselamatan JKR yang wajib dipatuhi kontraktor.
Pada sidang media khas di pejabatnya di sini semalam, beliau berkata, ini adalah julung kali pihaknya memanggil CEO dan pengurusan kanan kontraktor yang terbabit kerja menaik taraf jalan raya bagi melihat sama ada mereka mematuhi peraturan, keperluan keselamatan dan garis panduan teknikal yang ditetapkan kerajaan. "Kita akan menyenarai hitam kontraktor yang didapati melanggar akta dan garis panduan berkenaan," katanya Jawatankuasa inkuiri turut dianggotai JKJR, Miros, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis.
Dalam kejadian jam 3.45 petang 8 Januari lalu, dua sahabat terbunuh, manakala empat yang lain cedera apabila sebuah kereta dan kenderaan pacuan empat roda yang mereka naiki bertembung dekat Kampung Jentayu, Jalan Gurun-Jeniang berhampiran Gurun.
No comments:
Post a Comment