Dipetik dari KOSMO
11/10/2011 3:21pm
KUALA LUMPUR - Kesedaran menggunakan alat keselamatan ketika bekerja telah menyelamatkan nyawa seorang buruh warga Bangladesh selepas pelantar simen tempatnya berpijak runtuh dalam satu kejadian di sebuah pusat beli-belah yang sedang dalam pembinaan di Brickfields di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Bari Wan Abdul Khalid berkata, kejadian pada kira-kira pukul 11 pagi itu bagaimanapun tidak mencederakan pekerja lain.
"Pada waktu kejadian, mangsa yang berumur 35 tahun itu sedang melakukan kerja-kerja menyimen di tingkat satu berseorangan sebelum pelantar setinggi empat meter itu runtuh,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.
Wan Bari berkata, bagaimanapun kerana kesedaran mangsa yang memakai topi keselamatan sewaktu bertugas menyebabkan dia hanya pengsan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Pusat Perubatan Universiti Malaya.
"Pelantar di tingkat satu bangunan 11 tingkat itu dipercayai baru lepas disimen dan belum kering, kata Wan Bari.
Katanya, kerja-kerja pembinaan di aras itu kini diberhentikan buat sementara waktu sehingga mendapat arahan daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH).
Difahamkan bangunan yang sedang dibina sejak dua tahun lepas itu akan dikenali sebagai ”Nu Sentral” mempunyai lebih 500 pekerja yang melakukan kerja-kerja pembinaan.
Sementara itu, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Christopher Chong Hon Fah berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 11 pagi dan sebuah jentera dengan lebih 30 anggota terlibat dalam menyelamatkan mangsa.
"Kita mengambil masa satu jam meronda di kawasan kejadian untuk memastikan tiada mangsa lain yang terlibat,” katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment