Friday, October 7, 2011
PULAU PINANG 4 Okt. – Seorang warga emas maut manakala tiga lagi parah selepas sebuah kren pembinaan sebuah hotel 20 tingkat tumbang dan menghempap sebuah rumah kedai dua tingkat di Jalan Sri Bahari di sini tengah malam tadi.
Kren itu turut terkena bangunan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang terletak di belakang deretan rumah kedai tersebut.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.15 tengah malam itu, Liang Yit Kwang, 65, seorang pekerja kedai pengimpal besi maut dihempap kren itu ketika tidur di sebuah bilik di tingkat dua rumah kedai berkenaan.
Lokasi kejadian itu terletak kira-kira 200 meter dari Pejabat Utusan Malaysia Biro Pulau Pinang di Jalan Argyll di sini.
Deretan rumah kedai yang dibina sebelum zaman perang itu terletak kira-kira 50 meter dari tapak pembinaan tersebut.
Ketika kejadian, pemilik kedai kimpalan besi itu, Luar Chooi Guan, 78, bersama isteri, Chew Hong Choo, 76, dan anak lelakinya, Luar Seong Ean, 54, tidur di bilik berasingan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Azmi Tamat berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 12.20 tengah malam sebelum anggotanya dikerahkan ke tempat kejadian.
Menurutnya, operasi menyelamat melibatkan anggota dari lima balai iaitu Jalan Perak, Lebuh Pantai, Bagan Jermal, Paya Terubong dan Bayan Baru selain mendapat bantuan pasukan bomba sukarela serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.
“Hasil pemeriksaan di rumah kedai ini, pihak kami menemui tiga mangsa yang cedera parah dan mereka semua dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk menerima rawatan.
“Mangsa terakhir pula ditemui meninggal dunia akibat dihempap dinding kedai. Pihak kami terpaksa berhati-hati ketika mengalihkan runtuhan dinding itu kerana struktur bangunan sudah lama dan tidak stabil,” katanya.
Azmi berkata, pihaknya mengambil masa hampir dua jam untuk mengeluarkan kesemua mangsa serta memastikan tiada mangsa lain yang terperangkap.
Beliau berkata, kejadian itu mungkin berpunca daripada tapak kren yang tidak stabil menyebabkan ia tercabut dan tumbang ke arah rumah kedai itu.
Sementara itu, anak pemilik kedai itu, Luar Seong Teik, 52, berkata, Yee Khoon yang berasal dari Gurun, Kedah bekerja selama 30 tahun dengan keluarganya dan seorang pekerja yang baik.
“Saya begitu sedih dengan kejadian ini kerana ia meragut nyawa seorang pekerja kami, namun bersyukur kerana ibu bapa dan abang saya terselamat.
“Cuma sekarang saya tak tahu macam mana nak hubungi keluarga mangsa kerana dia tidak pernah cerita tentang keluarganya kepada saya,” katanya.
Dipetik dari UTUSAN
Labels:
safety
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment