Friday, May 22, 2009

JKKP Keluar 5,559 Notis

METRO / 21.05.2009

JOHOR BAHRU: Sebanyak 5,559 notis dikeluarkan kepada majikan sepanjang 2008 di seluruh negara kerana gagal mematuhi piawaian keselamatan mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994. Daripada jumlah itu, 135 kes dibawa ke mahkamah manakala 14 majikan dikenakan tindakan kompaun kerana didapati melanggar akta dikuatkuasakan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) itu.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JKKP Malaysia, Zabidi Md Adib, berkata notis dikeluarkan itu membabitkan majikan di bawah semua 11 sektor yang termaktub dalam bidang kuasa jabatan berkenaan dikesan melalui audit dan pemeriksaan mengejut secara berterusan.Katanya, pemilik syarikat masih gagal menyediakan elemen asas sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan iaitu dasar keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

“Kebanyakan notis dikeluarkan dan tindakan mahkamah dikenakan ke atas pemilik syarikat kerana mereka masih gagal memenuhi dasar asas berhubung keselamatan dan kesihatan pekerja yang mana ia komitmen majikan terhadap pekerja,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Penguatkuasaan KKP dan Kod Amalan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar di Sektor Pengangkutan Jalan Raya, semalam.Lebih 100 majikan dan pemilik syarikat pengangkutan hadir pada seminar sehari bertujuan memberi kesedaran kepada mereka berhubung keperluan mempunyai satu dasar berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerja di syarikat masing-masing.

Menurut Zabidi, bagi sektor pengangkutan jalan raya di negeri Johor, 29 audit keselamatan dan kesihatan pekerjaan dijalankan membabitkan syarikat bas dan pengangkutan lori di sekitar Johor Bahru, Segamat, pasir Gudang, Kluang dan Muar sehingga April lalu.“Daripada 29 audit yang kami lakukan, satu notis dikeluarkan kepada syarikat bas dan 10 notis kepada syarikat pengangkutan lori,” katanya.

No comments: