Tuesday, May 12, 2009

67,000 nahas di tempat kerja

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob mohdazam@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia mengenal pasti kecuaian manusia serta ketiadaan langkah keselamatan punca berlakunya kes kemalangan di tempat kerja apabila sebanyak 67,000 kes dicatatkan tahun lalu.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Senator Datuk Maznah Mazlan, berkata berdasarkan statistik daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia (Perkeso), sektor perkilangan serta pembuatan, jumlah kemalangan di tempat kerja paling tinggi berpunca daripada kecuaian ketika mengendalikan peralatan kilang seperti mesin transmisi, mesin kerja logam dan mesin kayu.Bagaimanapun, beliau berkata daripada jumlah kemalangan yang berlaku tahun lalu, pekerja di sektor pembinaan lebih berisiko mengalami kemalangan maut berbanding sektor lain yang hanya membabitkan kehilangan keupayaan sementara atau secara kekal.“Kita mengesan banyak kes kecuaian serta faktor persekitaran pekerjaan menjadi punca kemalangan di tempat kerja sering berlaku.

“Namun, apa yang menakutkan, daripada jumlah itu, kemalangan yang berlaku di sektor pembinaan menunjukkan hampir semua kes yang dilapor membabitkan kes kematian,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat projek pembinaan Jaya Zira di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia, Datuk Dr Johari Basri.Menurutnya, sepanjang tahun lalu, 54 projek pembinaan di kawasan Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur diperiksa dan daripada jumlah itu, hanya dua saja yang menepati piawaian perlindungan serta pencegahan kemalangan manakala selebihnya memerlukan tambahan daripada segi keselamatan.Katanya, mengikut syarat serta piawaian yang ditetapkan, setiap projek berskala besar melebihi RM20 juta, perlu menyediakan pegawai keselamatan bagi tujuan pemantauan keselamatan sepanjang masa, manakala bagi projek kecil atau kurang dari jumlah terbabit, pihak syarikat perlu mewujudkan jawatankuasa keselamatan bagi memantau tahap keselamatan kawasan pembinaan.

“Kita menetapkan supaya setiap projek yang berskala besar perlu menyediakan pegawai keselamatan dalam memantau keselamatan pekerja serta kawasan persekitaran dalam tempoh 24 jam dan setiap projek kurang dari nilai itu, mereka perlu mewujudkan satu jawatankuasa yang bertindak memantau aspek persekitaran agar bebas dari punca yang boleh menyebabkan kemalangan,” katanya.

sumber harian metro

No comments: