Thursday, March 13, 2008

Buah Pinggang Anda Okey ?




Hari ini 13 Mac 2007 adalah hari buah pinggang sedunia. Sudah tiga tahun 13 Mac dirai sebagai hari buah pinggang sedunia. Bagi saya yang turut merasai kesan akibat kegagalan buah pinggang yang dialami oleh ayah turut mengingati tarikh ini. Sekurang-kurangnya untuk bermuhasabah diri agar lebih menyayangi penapis menakjubkan yang dikurnia oleh Allah sepasang untuk setiap hambanya.


Walaupun kegagalan buah pinggang ayah berfungsi berpunca daripada penyakit diabetes yang dihidapi sejak 10 tahun yang lalu, namun kami sekeluarga telah mengambil tindakan sewajarnya agar tiada lagi anggota keluarga kami bakal menuruti warisan ayah ini.


Saya ingin berkongsi pengalaman kami sekeluarga dan ayah dalam menempuh hari -hari tanpa buah pinggang yang berfungsi sempurna.


Selama hampir dua tahun ayah berulang alik ke pusat Hemodialisis milik Yayasan Sultanah Bahiyah yang terletak di Simpang Kuala Alor Setar. Jarak perjalanan yang lebih 40 km sehala daripada rumah tidak memungkin pemandu yang dilantik (adik yang banyak berkorban....jamil & fadhil) untuk menghantar ayah ke Pusat Dialisis dan datang mengambil semula selepas sessi dialisis selesai. Oleh itu mereka turut akan berada disamping ayah selama 4 jam 3 kali seminggu. Bayaran untuk setiap sessi tersebut ialah sebanyak RM 200.


Semua ini terpaksa dilakukan disebabkan tiada tempat kosong (mesin dialisis) di hospital-hospital yang berhampiran dengan rumah (Hospital Kangar, Jitra & Alor Setar)


Namun bermula daripada Jun 2007, ayah telah mendapat tempat di Hospital Kangar (sessi 4 ptg hingga 8 malam) . Maka hilanglah sedikit bebanan (mungkin dah bosan) adik yang terpaksa terperuk di pusat dialisis. Jarak yang dekat 30 km (pergi balik) memungkinkan mereka pulang dahulu dan datang semula apabila selesai. Namun emak pula tetap setia untuk menemani setiap sessi ayah ini.


Ini merupakan secebis kisah yang dilalui oleh kami sekeluarga dalam menempuhi hidup bersama ayah yang mengidapi masalah kegagalan buah pinggang. Sekiranya anda merasakan bahawa anda sanggup menempuhi pengalaman seperti ini, maka jangan sayangi buah pinggang anda. Mungkin bagi mereka yang belum pernah merasainya akan merasakan perkara ini biasa-biasa sahaja. Tetapi bagi saya, cukuplah hanya ayah sahaja yang merasai bebanan ini. Kami adik beradik berazam akan menjaga buah pinggang kami dengan sebaik-baiknya........ (opss...berat badan saya dah naik mendadak sejak berhijrah ke Pulau Pinang ni)

No comments: