Saturday, January 14, 2012

Lesson Learn-UiTM diarah bayar bekas pelajar RM254,059

BERNAMA 12-JAN-2012

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini memerintahkan Universiti Teknologi MARA (UiTM) membayar gantirugi RM254,059 kepada bekas pelajar universiti itu yang mengalami kecederaan dalam kemalangan di kampus universiti itu pada Mei 2006.

Hakim Datuk Hinshawati Shariff memberikan plaintif, Nur Faizurah Amat @ Sani, RM24,058.99 sebagai gantirugi khas, RM70,000 ganti rugi am dan RM20,000 bagi surgeri di masa depan bagi kecacatan pada kakinya.

Plaintif juga diberikan RM15,000 bagi tulang belakangnya yang retak, RM10,000 bagi parut di badannya, RM5,000 bagi kecederaan di kepala dan RM40,000 bagi kesakitan dan penderitaan dan RM70,000 bagi pengehadan perubatan iaitu tidak boleh mempunyai lebih daripada tiga orang anak akibat kecederaan itu.

Nur Faizurah, 30, yang kini bekerja sebagai eksekutif bank, cedera parah dan terpaksa menjalani pembedahan tulang belakang apabila beliau tersadung dan terjatuh dari tingkat dua bangunan Menara Sultan Abdul Aziz Shah di universiti itu di Shah Alam pada 21 Mei 2006.

Beliau berada di sana bagi mengambil jubah dan untuk menghadiri raptai bagi majlis konvokesyen selepas menamatkan pengajian pada 2005.

Hakim Hinshawati berkata UiTM didapati 70 peratus bertanggungjawab manakala kontraktor yang melakukan kerja pengubahsuaian di tingkat dua bangunan itu 30
peratus bertanggungjawab bagi kemalangan itu.

Beliau juga memerintahkan defendan menanggung kos perbicaraan itu dengan jumlahnya akan ditentukan kemudian.

Dalam kemalangan itu, Nur Faizurah berada di lobi lif di tingkat dua Menara Sultan Abdul Aziz Shah apabila beliau tersadung pada sesuatu dan hilang imbangan badan sebelum terjatuh pada jarak setinggi 6.09 meter (20 kaki) ke tingkat bawah.

Plaintif dalam tuntutannya difailkan pada 2008 berkata kawasan tempat beliau jatuh sedang diubahsuai, dengan terdapat banyak pasir dan bahan binaan di atas lantai, manakala besi penghadang di sekeliling balkoni itu telah dialih tanpa sebarang tanda atau notis untuk memberi amaran kepada orang ramai mengenai kerja ubahsuai itu.

Oleh yang demikian, berlaku kecuaian di pihak defendan dalam mentadbir kawasan ubah suai itu kerana tiada penghadang diletakkan untuk mengelak pelajar
daripada pergi ke balkoni yang terdedah dan bahaya, katanya.

Plaintif dihantar ke Pusat Perubatan Selangor (SMC) dan dirawat selama sebulan di samping menjalani pembedahan tulang belakang.

Pembedahan dan rawatan di SMC memerlukan Nur Faizurah membayar RM32,256 dan beliau telah meminta UiTM membayar bil perubatan itu tetapi universiti itu enggan berbuat demikian dan meminta kontraktor menanggung kos itu.

Bagaimanapun, kontraktor hanya membayar RM20,000 daripada bil itu dan enggan membayar lebih banyak, mengakibatkan defendan masih berhutang dengan SMC
manakala hospital itu enggan memberikan rawatan susulan kepadanya sehingga hutang itu diselesaikan.

Akibat kecederaan itu, beliau sering berasa sakit dan tidak boleh berdiri atau duduk bagi tempoh yang lama, berjalan untuk jarak yang jauh atau terbabit dalam aktiviti sukan. Kesakitan itu bertambah teruk dalam keadaan cuaca sejuk.

Plaintif juga mendakwa kecederaan itu turut menjejaskan prospek kerjayanya dan keupayaan untuk bekerja.

No comments: