KUALA LUMPUR: Kemalangan membabitkan pekerja ketika berada di tempat kerja meunjukkan penurunan hampir 50 peratus dalam tempoh 10 tahun bermula tahun 2000 hingga tahun lalu, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam.
Beliau berkata, rekod yang dikeluarkan Pertubuhan Keselamatan Sosial
(Perkeso) mencatatkan jumlah kemalangan pada tahun 2000 iaitu sebanyak
95,000 kes, manakala jumlah kemalangan yang direkodkan tahun lalu didapati menurun kepada 57,000 kes, sekali gus menunjukkan penurunan hampir 40,000 kes.
Menurutnya, perangkaan itu membuktikan majikan di negara ini sentiasa
mengutamakan tahap keselamatan dan kesihatan pekerja bagi mengurangkan
risiko berlakunya kemalangan mahupun kecederaan di tempat kerja yang bukan saja mengakibatkan kecederaan sementara dan kekal, malah meragut nyawa. “Selain itu, jumlah yang direkodkan bagi kes kemalangan ketika berulang-alik ke tempat kerja turut menunjukkan pola penurunan ketara iaitu sebanyak 75,000 kes terjadi pada tahun 2000 manakala hanya 35 ribu kes berlaku sehingga penghujung tahun lalu.
“Dalam kes itu, lebih 65 peratus mangsa yang terbabit dalam kemalangan
ketika ke tempat kerja adalah di kalangan penunggang motosikal. Sehubungan
dengan itu saya menggesa semua agensi yang berkaitan untuk lebih menumpukan kepada langkah pencegahan kemalangan kepada penunggang motosikal,” katanya pada sidang media selepas Seminar Pencegahan Kemalangan Perkeso 2011, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, semalam.
Hadir sama, Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Abu Huraira Abu Yazid dan Ketua Eksekutif Perkeso, K Selvarajah. ; Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Datuk Dr Ir Johari Basri dan Naib Pengerusi Yayasan Pencegah Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye.
Subramaniam berkata, penurunan kes kemalangan ini diyakini mampu dikekalkan sekiranya kerjasama padu dilaksanakan terutama antara pekerja dan majikan dalam usaha menangani kes kemalangan di tempat kerja dan sewaktu perjalanan ke tempat kerja.
“Perkara asas yang perlu diutamakan adalah sikap individu itu sendiri terutama dalam aspek menjaga keselamatan diri sendiri kerana sikap individu yang lebih berhati-hati selain peka dengan sebarang risiko berlakunya kemalangan adalah aset utama mencegah kemalangan,” katanya.
No comments:
Post a Comment