Wednesday, March 25, 2009

Silikosis bunuh pekerja


Dipetik dari rencana KOSMO
Ribuan pemotong batu permata meninggal dunia akibat menyedut habuk silika ketika menggerudi, memotong atau meletupkan batu yang mengandungi permata.


BERDIRI di sepanjang bekas kaca yang dipenuhi dengan berlian, delima, nilam dan pelbagai lagi batu berharga yang dipamerkan dalam satu pameran barang kemas antarabangsa di Hong Kong, pembeli batu permata berbincang apa yang paling ditekankan mengenai batu-batu istimewa itu.
"Kualiti," jawab kebanyakan pembeli tanpa berfikir dua kali.


Namun, kesemuanya merenung kosong terpinga-pinga apabila ditanya jika mereka pernah mendengar tentang silikosis dan sama ada mereka mempunyai polisi mengenai keengganan untuk membeli batu-batu dari kilang yang tidak melindungi pekerja mereka daripada sebarang penyakit.
"Saya minta maaf, saya tidak tahu langsung mengenainya," kata seorang pakar batu permata di pameran tersebut yang menarik lebih daripada 30,000 pembeli pada awal Mac lalu.
Di sempadan wilayah Guangdong di selatan China, ribuan pemotong batu meninggal dunia akibat silikosis, sejenis penyakit berkaitan paru-paru yang tidak boleh diubati disebabkan menyedut habuk silika ketika menggerudi, memotong, menghancurkan, mengisar atau meletupkan sebongkah batu untuk mengeluarkan permata.


"Kebanyakannya meninggal dunia pada usia pertengahan 40-an. Tetapi, ada juga yang mati lebih muda iaitu hanya beberapa tahun selepas didiagnosis menghidap penyakit tersebut.
"Selain itu, pekerja-pekerja ini juga meninggal disebabkan penyakit tuberkulosis atau batuk kering (TB) dan serangan jantung," kata Shek Pingkwan dari Labour Action Asia.
SETIAP pekerja hanya dibekalkan dua topeng muka dalam sebulan.


Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan lebih daripada 24,000 orang meninggal dunia di China setiap tahun akibat penyakit yang meninggalkan kesan pada paru-paru, menyebabkan masalah pernafasan teruk dan akhirnya menemui ajal.
Jumlah kes silikosis di selatan China semakin meningkat sejak lapan tahun lalu di mana pakar kesihatan memberi amaran penyakit tersebut sudah mencapai tahap keseimbangan epidemik.
Kerajaan China kemudian mendesak syarikat-syarikat gergasi batu permata membayar ganti rugi kepada waris pekerja-pekerja yang meninggal dunia.


Namun, kumpulan perjuangan hak asasi berkata, situasi tidak banyak berubah kerana kerja memotong batu permata telah dipindah milik kepada kontraktor tidak berlesen untuk mengelak tindakan undang-undang.
Deng Winghong, 37, bekerja sebagai pemotong batu selama lebih daripada 10 tahun sebelum dia disahkan menghidap silikosis.
"Persekitaran di tempat saya bekerja amat teruk. Pengurus langsung tidakmemberitahu kami keburukannya. Setiap bulan, kami dibekalkan dengan dua topeng penutup muka yang nipis.
"Terdapat ramai pekerja di dalam sesebuah bilik dan ia amat berhabuk," kata Deng.
Menurutnya, terdapat juga satu alat ventilator tetapi ia tidak memberi kesan yang banyak.
"Mereka menutup tingkap kerana kilang kami terletak di tepi jalan. Majikan tidak mahu habuk keluar dan mencemarkan udara luar kerana ia akan menarik perhatian pihak berkuasa," tambahnya yang membongkar sikap tidak bertanggungjawab majikannya.


Silika adalah sejenis molekul biasa yang sering ditemui dalam pasir dan kebanyakan jenis batu. Apabila batu-batu itu digerudi atau dipotong, ia akan menghasilkan partikel habuk kecil yang masuk ke kantung udara dalam paru-paru dan tidak boleh dikeluarkan melalui batuk.
Paru-paru yang telah dipenuhi silika akan menjejaskan kesihatan. Simpton yang dialami pesakit ialah batuk kering, keletihan, hilang selera makan, sukar bernafas dan sakit dada.
"Saya telah melihat dua rakan saya meninggal dunia akibat penyakit ini. Sebelum mati, mereka perlu menggunakan tangki oksigen dan tidak boleh berjalan sendiri," kata Deng yang menderita akibat nafas pendek, keletihan dan sakit dada.


"Saya tahu lebih berpuluh-puluh rakan sekerja meninggal dunia akibat silikosis. Malah ada yang pergi dalam usia awal 20-an. Ia sesuatu yang amat menyedihkan," tambahnya.
Silikosis lebih mudah tersebar di negara-negara membangun seperti China, India, Vietnam dan Brazil di mana buruh adalah murah, rakyatnya terdesak untuk bekerja dan peraturan keselamatan tidak ketat. - Reuters

No comments: