Thursday, March 12, 2009

KEMALANGAN NGERI DI TAPAK KERJA BINAAN - 2 BURUH BINAAN MAUT AKIBAT KABEL KREN MENARA PUTUS (08.03.2009 / BANGSAR, KL


Semoga berita sebegini menjadi ingatan dan pengajaran kepada kita insan yang bertanggungjawab menguruskan aspek keselamatan ditempat kerja. Ulasan tentang aspek-aspek kemalangan akan dicoretkan pada siratan akan datang.


METRO / 10.03.2009
KUALA LUMPUR: Syarikat pemaju dan pengurusan tapak pembinaan di negara ini tidak prihatin terhadap aspek keselamatan membabitkan pekerja di sektor itu.Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (Niosh), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata kejadian terbaru membabitkan dua warga Bangladesh yang maut akibat dihempap tong pengangkut bahan binaan di tapak pembinaan di Jalan Bangsar Utama, kelmarin, membuktikan kebenaran perkara itu.Katanya, kemalangan maut di tapak pembinaan di negara ini bukan perkara baru dan akan berlaku selagi mereka yang terbabit dalam sektor itu memandang mudah sistem keselamatan membabitkan pekerja binaan.
“Sektor pekerjaan di tapak pembinaan berisiko tinggi untuk berlaku kemalangan tapi malangnya, aspek dan sistem keselamatan di kawasan ini masih tidak diberi perhatian sewajarnya mereka yang terbabit secara langsung dalam bidang itu.
“Kejadian yang berlaku semalam (kelmarin) membuktikan perkara ini dan saya percaya kemalangan seperti itu akan terus berlaku selagi tiada usaha dijalankan untuk mengatasinya,” katanya, semalam.
Dalam kejadian kelmarin, dua pekerja binaan warga Bangladesh hampir berkecai sepenuhnya selepas dihempap tong pengangkut bahan binaan di sebuah tapak pembinaan di Jalan Bangsar Utama.Mengulas lanjut, Lee berkata, syarikat pengurusan pembinaan dan pemaju perlu mengadakan audit keselamatan dari semasa ke semasa bagi mengurangkan risiko kejadian seperti itu berulang.Sementara itu, tinjauan Harian Metro di kawasan terbabit, semalam mendapati, aktiviti pembinaan bangunan itu dihentikan sementara dengan hanya kerja pembersihan dijalankan di tempat kemalangan.Tinjauan juga mendapati kawasan binaan terlalu hampir dengan kawasan orang ramai lalu-lalang selain tiada penghadang diwujudkan bagi menjamin keselamatan awam.





Badan berkecai dihempap tong satu tan
Oleh Iskandar Shah Mohamediskandar@hmetro.com.my / 09.03.2009 / METRO
KUALA LUMPUR: Mengerikan apabila badan dua pekerja binaan warga Bangladesh hampir berkecai sepenuhnya selepas dihempap tong pengangkut bahan binaan di sebuah tapak pembinaan di Jalan Bangsar Utama di sini, semalam.Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 petang itu, kabel pada tong berkenaan terputus daripada sebuah kren di tingkat 22 sebuah bangunan dalam pembinaan sebelum terjatuh dan menghempap mereka.Sumber berkata, kedua-dua mangsa berusia 30 dan 40-an melakukan kerja bersama beberapa pekerja di tempat kejadian.“Ketika kren itu di tingkat 22, kabel tidak dapat menampung berat bahan binaan yang diangkat menyebabkannya terputus.
“Tong yang dianggarkan lebih satu tan itu jatuh menghempap dua buruh binaan terbabit,” katanya di sini, semalam.
Menurutnya, kepala seorang daripada mereka pecah manakala badan rakannya hampir hancur sepenuhnya dan bertaburan hingga beberapa meter di sekitar lokasi kejadian. “Sepasukan anggota polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) mengambil masa hampir setengah jam untuk mengumpul cebisan mayat mangsa. “Polis bagaimanapun gagal mengesan beberapa pekerja, termasuk operator kren untuk membantu siasatan berikutan mereka dipercayai menghilangkan diri sejurus kejadian,” katanya.Difahamkan sebuah bangunan pejabat 38 tingkat sedang dibina di tempat kejadian.Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abd Khalid, ketika dihubungi, berkata kejadian terbabit diklasifikasikan sebagai mati mengejut.“Kami tidak mengesyaki sebarang kes jenayah,” katanya.

No comments: