Wednesday, March 7, 2012

2 nyaris maut kren terlanggar kabel elektrik

07/03/2012 12:55pm


ALOR SETAR - Dua lelaki nyaris maut akibat terkena renjatan elektrik apabila kren yang dikendalikan salah seorang daripada mereka terlanggar kabel elektrik bervoltan tinggi di Jalan Lencong Barat, Tandop dekat sini 6.30 petang semalam.

Kren berada di kawasan tapak pembinaan di bawah kabel bervoltan tinggi itu digunakan bagi kerja memunggah batu yang terlanggar kabel berkenaan sehingga terputus menyebabkan berlaku letupan yang kuat.

Saksi kejadian, Chen Soon Lak, 32, berkata ketika itu beliau berada di sebuah kedai berhampiran terdengar bunyi letupan sangat kuat dan terus bekejar bersama beberapa rakan ke lokasi kejadian.

Mereka mendapati dua lelaki, seorang terbaring di atas tanah berhampiran pagar dan seorang lagi dipercayai pengendali kren pengsan di dalam alat jentera itu.

"Kami takut mendekati kedua-duanya kerana bimbang terkena renjatan elektrik dan meminta pertolongan orang ramai menghubungi pasukan penyelamat," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Soon Lak berkata, pemandu kren itu tersedar 15 minit kemudian dan merendahkan galang krennya yang tersangkut sebelum orang ramai memberikan bantuan terhadapnya.

Mangsa dikenali sebagai Thi Kim Teng, 50an, ditemui masih berkeadaan bingung manakala rakannya yang tidak dikenali dilihat menggigil akibat terkena renjatan elektrik. -- BERNAMA

Dipetik dari KOSMO

No comments: