Kesemua mangsa kini menjalani rawatan di Hospital Sungai Buloh dan keadaan mereka dilaporkan kritikal.Ketika kejadian pada kira-kira jam 9.20 pagi itu, kesemua mangsa yang berumur antara 35 hingga 50 tahun sedang melakukan kerja kemasan terakhir pada koridor di tingkat tiga banglo berkenaan.Akibat runtuhan itu, ketiga-tiga mangsa terjatuh bersama lantai koridor berkenaan sebelum dihempap dan mengakibatkan kecederaan teruk di kepala, badan dan kaki mereka.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Meor Hamdan Meor Mohamad, berkata siasatan awal mendapati bahagian koridor yang dibina tidak kukuh menyebabkan runtuhan berkenaan.
"Ketiga-tiga mangsa sedang bekerja di koridor berkenaan manakala dua lagi rakan mereka di aras bawah sedang membersihkan kawasan pembinaan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Beliau berkata, seramai 11 anggota bomba dan penyelamat bersama sebuah jentera dari Sungai Buloh mengambil setengah jam bagi mengeluarkan seorang mangsa yang dihempap konkrit selepas dua lagi rakannya berjaya dikeluarkan dan dikejarkan ke hospital dengan bantuan orang ramai.
Katanya, pihaknya akan meneliti laporan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memastikan sama ada pembinaan banglo itu mendapat kelulusan atau sebaliknya.
Sementara itu, dua lagi rakan mangsa terselamat kerana berada di tingkat bawah banglo berkenaan.
Dipetik: Berita Harian Online