Tuesday, February 1, 2011

Anuar mengalah?


Gambar-gambar stage 2 Kangar-Butterworth nantila aku upload. Demam teruk ni...

so hari ni petik berita KOSMO je la....

PELUMBA Terengganu Cycyling Team (TSG), Anuar Manan seakan-akan sudah mengibarkan 'bendera putih' dalam perebutan Jersi Biru (Raja Pecut) pada kejohanan lumba basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011.

Atas kertas, peluang Anuar untuk mempertahankan gelaran Raja Pecut 2010 itu dianggap sudah tertutup selepas dia menamatkan perlumbaan di tempat ke-32 pada peringkat kesembilan dari Melaka ke Nilai sejauh 127 kilometer (km) semalam.

"Peluang saya untuk mempertahankan Jersi Biru ini semakin tipis selepas saya gagal menambah kutipan mata dan memenangi peringkat pada perlumbaan hari ini (semalam)," kata pelumba kelahiran Kuala Ibai, Terengganu itu.

"Perlumbaan hari ini (semalam) sangat laju dan saya terpaksa bekerja keras untuk mengejar pelumba di depan selepas beberapa orang daripada mereka membuat pemecahan daripada kelompok besar. Situasi ini menye- babkan saya keletihan.

"Sebenarnya, saya tidak menghadapi masalah dengan perubahan laluan yang dilakukan pada saat-saat akhir perlumbaan hari ini (semalam) tetapi keadaan cuaca serta permukaan jalan yang tidak rata memberi sedikit kesukaran."

Ketika ini, Anuar menduduki tempat ketiga dalam perebutan Jersi Biru selepas ketinggalan masing-masing 23 dan empat mata di belakang dua pencabar terdekatnya, Andrea Guardini dari pasukan Farnese Vini- Neri Sottoli dan pelumba Tabriz Petrochemical Team (TPT), Boris Shiplevsky.

Bagaimanapun secara matematiknya, Anuar masih berpeluang untuk memintas Guardini dan Shiplevsky sekiranya dia berjaya mengutip mata maksimum pada tiga zon pecut dan menjadi pe- menang peringkat pada perlumbaan terakhir LTdL 2011 dari UiTM Shah Alam ke Kuala Lumpur (104.6km) hari ini.

Dalam masa yang sama, dia juga berharap kedua-dua pencabarnya itu tidak mengutip sebarang mata pada zon pecut pertama di Paya Jaras (42.6km) dan dua zon pecut terakhir di Kuala Lumpur.

"Esok (hari ini) saya akan cuba melakukan yang terbaik kerana ini adalah pelu- ang terakhir saya untuk menjadi pemenang peringkat.

"Meskipun peluang saya untuk memenangi Jersi Biru semakin sukar, saya tidak akan berputus asa. Saya akan bekerja keras. Ia bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi bagi membantu pasukan berada pada kedudukan yang lebih baik," katanya.

Sementara itu, jurulatih TSG, Syed Husaini Syed Mazlan turut mengakui peluang Anuar untuk mempertahankan Jersi Biru itu semakin sukar.

Bagaimanapun, beliau tetap berpuas hati dengan persembahan para pelumba pasukan itu dalam penampilan pertama mereka bersama pasukan benua baru itu pada edisi ke-16 LTdL ini.

Pada perlumbaan semalam, Mohd. Harrif Salleh menamatkan perlumbaan di tempat ke-33, satu kedudukan di belakang Anuar manakala Phucong Sai-Udomsin (54), Shinichi Fukushima (57), Mohd. Shahrul Mat Amin (75) dan Mohammad Saufi Mat Senan (93).

OSH DIALOGUE SAFETY PRACTITIONER WITH DOSH / JKKP STATE DIRECTOR (KEDAH & PERLIS)

Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Dimaklumkan “NRG-SHE” dengan kerjasama “JKKP / DOSH = KEDAH & PERLIS” akan mengadakan “Majlis Dialog Bersama Semua Pengamal -Pengamal Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan” seperti maklumat berikut :
Tarikh : 24hb. Feb. 2011 (Hari : Khamis)
Tempat : CINTA SAYANG RESORT, SUNGAI PETANI, KEDAH DARUL AMAN (SILA LIHAT LAMPIRAN)
Masa : 02.00 petang sehingga 05.30 petang
Bayaran : RM50.00Pendaftaran : Urusetia NRG-SHE (019-417 9673 / aladdinosama@gmail.com)


Penyakit dalam kapal terbang


Dipetik dari KOSMO Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN

MEMILIH untuk menaiki kapal terbang ke destinasi pilihan tentunya memberi keterujaan apatah lagi jika ia pengalaman pertama.
Namun, dalam keseronokan untuk terbang, masih ada perkara yang perlu diambil berat demi memastikan keselesaan anda sebagai penumpang di sepanjang penerbangan.
Ini kerana boleh dikatakan hampir semua penumpang kapal terbang tidak dapat lari daripada merasai tekanan di bahagian dalam telinga ketika pesawat hendak berlepas mahupun mendarat.
Gangguan sindrom telinga pesawat yang juga dikenali sebagai airplane ear atau barotrauma ini boleh mengakibatkan telinga berdengung dan rasa sakit di bahagian dalam telinga.
Penulis sendiri sering berdepan gangguan yang sama setiap kali menaiki kapal terbang, adakalanya kesakitan tersebut boleh mengundang masalah lain seperti pening dan loya.
Apa yang lebih teruk, keadaan ini boleh berlarutan selepas beberapa jam pesawat mendarat.
“Apa yang anda alami bukan perkara biasa. Biasanya, penumpang hanya mengalami sedikit tekanan dan telinga berdengung, tetapi selepas pesawat mendarat, ia sudah hilang sepenuhnya.
“Mungkin kesihatan yang kurang baik ketika menaiki kapal terbang memburukkan lagi tekanan telinga pesawat yang dialami,” ulas Perunding dan Pakar Bedah Telinga, Hidung dan Tekak (ENT) Hospital Pantai Ampang, Kuala Lumpur, Dr. Raymond Tan Suan Kuo.
Ditafsirkan sebagai kecederaan pada bahagian telinga tengah, gejala tersebut disebabkan oleh perubahan tekanan udara sewaktu dalam penerbangan.
“Tekanan telinga pesawat boleh berlaku di kedua-dua belah telinga.
Seperti dicucuk“Ia akan lebih serius apabila penumpang terbang ketika sedang mengalami selesema, hidung tersumbat, alahan hidung, tekak atau jangkitan resdung.
“Gejala yang sama juga boleh berlaku jika memandu di kawasan pergunungan atau berada di tempat yang tinggi serta ketika menyelam skuba,” jelas Raymond.
Menurutnya lagi, tekanan udara yang tidak seimbang di antara telinga tengah dan tekanan udara persekitaran boleh menghalang gegendang telinga bergetar secara normal.
“Apabila tekanan udara persekitaran berubah secara mendadak, saluran eustachia yang menghubungkan bahagian tekak dan telinga tengah tidak dapat memberi reaksi pantas yang boleh menyeimbangkan tekanan menjadi punca gangguan ini terjadi.

“Telinga akan berdengung dan akan lega jika mengunyah atau menelan makanan,” ujarnya.
Bagaimanapun, bagi penumpang yang mengalami tekanan yang disusuli rasa sakit seperti bahagian dalam telinga dicucuk dengan benda tajam, Raymond memberitahu itu bukan gejala biasa.
“Jika saluran eustachia tersebut tersumbat atau mempunyai masalah lain seperti jangkitan kuman, tekanan di telinga tengah boleh mendatangkan masalah yang lebih besar.
“Pendengaran akan mulai merosot, telinga tidak selesa, berdengung, pendarahan daripada telinga yang boleh menyebabkan pening dan kesakitan dalam telinga yang berpanjangan,” katanya.
Apa yang lebih membimbangkan, gangguan ini boleh mendatangkan risiko besar kepada kanak-kanak berusia tiga tahun ke bawah.
“Tekanan ini mampu membocorkan telinga tengah dan mengakibatkan lebih banyak masalah. Telinga mereka akan sakit dan rasa tidak selesa, itu menyebabkan mereka kuat menangis.
“Segera periksa telinga anak anda selepas tangisan mereka reda. Jika ada lelehan nanah atau darah, bawa segera anak berjumpa doktor untuk rawatan lanjut,” ujarnya.
NanahKebocoran telinga tengah boleh mengakibatkan masalah yang lebih besar kerana ia berfungsi sebagai dinding penutup bahagian dalam dan luar telinga, sama seperti jika perut anda bocor hingga menampakkan usus dan isi perut.
“Apabila disahkan ada kebocoran pada telinga tengah, ritma kehidupan mereka turut terganggu.
“Pesakit tidak boleh berenang kerana air yang memasuki telinga akan menyebabkan telinga mendapat jangkitan kuman.
“Jika itu berlaku, telinga mudah bernanah. Pesakit juga sentiasa terdedah kepada pencemaran seperti habuk dan terpaksa menanggung kesakitan apabila mendengar bunyi yang kuat. Pembedahan perlu dijalankan untuk menutup semula kebocoran tersebut,” tambahnya.

Bagaimanapun, sekiranya telinga bocor ini dialami oleh kanak-kanak, mereka terpaksa menunggu hingga usia 16 tahun untuk dibedah.
“Kanak-kanak adalah golongan paling berisiko untuk mendapat tekanan telinga pesawat yang membawa kebocoran telinga dalam.
“Jika kebocoran terjadi, pembedahan tidak terus dilakukan kerana bahagian dalam telinga kanak-kanak masih kecil dan perlu menunggu umur sekurang-kurangnya 16 tahun untuk dibedah.
“Saranan saya, pastikan anda mempunyai sesuatu untuk dikunyah seperti asam atau gula-gula getah ketika berada di kawasan tinggi.
“Gangguan tekanan telinga pesawat biasanya timbul daripada masalah kesihatan yang lain. Jika anda merancang untuk menaiki kapal terbang atau menyelam skuba, pastikan kesihatan anda berada di tahap yang baik.
“Pesakit resdung dan penghidap selesema atau jangkitan hidung berisiko untuk mendapat tekanan yang lebih teruk berbanding penumpang yang sihat,” nasihatnya.