Tuesday, July 1, 2008



Berita Harian 1/7/2008


Satu maut, 4 parah trailer rempuh 13 kenderaan


SUBANG: Seorang maut manakala empat lagi parah dalam satu kemalangan membabitkan tujuh kereta, lima motosikal dan dua lori termasuk sebuah trailer di persimpangan lampu isyarat menuju ke Bandar Puchong Jaya dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1.45 petang itu, trailer berkenaan dari arah Bandar Kinrara yang dipercayai dipandu laju hilang kawalan merempuh semua kenderaan berhenti di persimpangan berkenaan.

Pegawai Penyiasat Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Asisten Superintendan Mohd Rizal Kamarudin, berkata siasatan awal mendapati, pemandu trailer itu dalam keadaan mabuk menyebabkan dia gagal mengawal kenderaannya.

“Rempuhan kuat itu mengakibatkan semua kenderaan berhenti di persimpangan lampu isyarat rosak teruk, manakala pemandu dan penumpang pula cedera,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau berkata, mangsa yang maut adalah pemandu satu daripada kereta dikenali sebagai Kyaw Lim (gambar), 64, warga Myanmar. “Mangsa maut akibat kecederaan serius pada kepala dan beberapa bahagian badan akibat keretanya terperosok di bawah trailer dan diseret kira-kira 100 meter. Empat lagi mangsa yang cedera parah, semuanya penunggang motosikal belum dikenal pasti identiti dan dihantar ke Hospital Putrajaya dan Serdang untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Bomba, Penguasa Kanan Zainal Elias Abdul Aziz, berkata pihaknya mengambil masa hampir setengah jam untuk mengeluarkan mayat mangsa tersepit di bawah trailer.

“Kita mengalami sedikit kesukaran untuk mengeluarkan mayat mangsa kerana kereta mangsa terperosok di bawah trailer yang membawa muatan besi waja,” katanya.

Beliau berkata, bomba menerima panggilan jam 2 petang dan tiba di lokasi 25 minit kemudian.

“Tiga jentera dari Balai Bomba Seksyen 7, Petaling Jaya dan Jalan Penchala dengan 20 anggota menyertai operasi itu.

“Kami turut membantu mengawal kesan tumpahan minyak di lokasi kejadian untuk memudahkan kerja memindahkan kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu,” katanya.

Kemalangan itu mengakibatkan kesesakan lalu lintas hampir lima kilometer dari arah menghala ke Puchong dan Bandar Sunway